Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah, lalu dibawa duduk di atas pelamin. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara berinai besar.
Di atas pelamin, di hadapan pengantin itu akan diletakkan sebuah pahar berkaki tinggi yang disusun dengan beberapa bekas dan piring, satu berisi beras kunyit, satu berisi bertih dan satu lagi berisi air tepung tawar yang lengkap dengan perenjisnya. Di tengah-tengah pahar itu diletakkan sebiji astakona kecil berisi inai yang sudah siap digiling halus. Pengantin akan diinaikan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga dan upacara akan dimulakan dengan ahli keluarga lelaki yang berpangkat tua-tua seperti datuk, bapa dan bapa saudara.
Mula-mula, sejemput beras kunyit akan diambil dari bekas yang di atas pahar tersebut dan dihamburkan ke kiri dan kanan pengantin. Kemudian, diikuti dengan sedikit bertih dan akhir sekali perenjis tepung tawar akan dicicahkan sedikit ke dalam bekas berisi air tepung tawar lalu ditepukkan sedikit ke atas belakang tangan pengantin yang berada di atas ribaan pengantin itu. Akhir sekali, inai akan dicubit sedikit dari astakona inai dan dicalitkan di tapak tangan yang sudah beralas dengan daun sirih. Setelah selesai, emak pengantin akan menyusunkan jari kedua-dua tangan pengantin itu dan diangkatkan ke muka pengantin seperti orang menyembah. Dalam adat ini, bilangan orang lelaki yang hendak menginaikan pengantin mestilah ganjil, iatu tiga, lima atau tujuh orang. <Ambil kat sini>
Dah bagitau Kak Ila, dia setuju je, balik nanti nak bincang dengan abah pula! Yessss~
No comments:
Post a Comment