Tuesday, September 6, 2011

HUKUM MENYENTUH / MEMEGANG ANJING DAN KEPEKAAN UMAT ISLAM TERHADAP MAKANAN HALAL

1. PENDAHULUAN

Tulisan ini dikemukakan untuk tatapan awam sebagai menjawab aduan awam berkaitan tindakan seorang wanita Melayu memegang anjing dan isu kepekaan masyarakat Islam terhadap kepentingan mengambil sumber makanan halal lagi baik. 

2. LATAR BELAKANG

2.1. Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima aduan  awam  mengenai satu artikel dalam  Akhbar The Star bertarikh 24 April 2010 (Sabtu) menyiarkan seorang wanita Melayu yang giat aktif menyertai secara sukarela satu pertubuhan menyelamatkan binatang terbiar seperti anjing iaitu Society, Prevention, Cruelty dan Animal (SPCA). Aktiviti  seorang wanita Melayu Islam memegang seekor anak anjing telah menimbulkan isu  kurang senang di kalangan pembaca akhbar  tersebut.
2.2. Pengadu iaitu Nora mendakwa Akhbar The Star dianggap telah menghina Islam  melalui aktiviti yang telah dilakukan oleh  seorang wanita Melayu Islam. Bertitik tolak dari itu, penjelasan  lanjut  diketengahkan menjurus kepada isu orang Islam  memelihara anjing, isu berpegang kepada sesuatu mazhab di samping kepekaan orang Islam termasuk golongan saudara baru terhadap pengambilan makanan halal terutamanya di hotel-hotel.

3. PENJELASAN BERKAITAN  HUKUM ORANG ISLAM MENYENTUH /MEMEGANG ANJING MENGIKUT MAZHAB SHAFIE

3.1 Mengikut pandangan Mazhab Shafie, binatang anjing adalah termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Kalau terkena air liur dan najisnya perlu disamak dengan air mutlak 7 kali dan sekali dengan air bercampur tanah. Menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam.
3.2 Berkaitan hukum memelihara anjing mengikut pandangan Mazhab Shafie  adalah seperti berikut : 
a) Diharuskan memelihara anjing untuk tujuan berburu, memelihara keselamatan rumah daripada dimasuki oleh pencuri, menjaga tanaman, rumah, harta benda dan sebagainya. 
b) Tidak dibolehkan memelihara anjing untuk tujuan hobi (pet) atau dijadikan sebagai binatang hiasan dirumah. Berdasarkan syarah Imam Nawawi dalam Kitab Majd al-Musyarah wa Muhadzah, juz 9, halaman 9  menjelaskan bahawa tidak boleh memelihara anjing kecuali untuk berburu binatang, menjaga binatang ternakan, menjaga tanaman dan menjaga keamanan rumah.  
3.3 Jika dirujuk kepada pandangan Yusuf al-Qaradawi, (kitab al-Halal wa alHaram fi al-Islam) beliau mengatakan hukum memelihara anjing sebagai binatang kesukaan adalah haram. Hal ini berdasarkan  hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud dari Abi Sufian bin Abu Zuhair, bahawa Nabi S.A.W. bersabda antara lain maksudnya : “Barang siapa yang memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternakan, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirot”. Erti  qirot hanya Allah sahaja yang mengetahui kurangnya. Hadith ini disepakati oleh Bukhari dan Muslim.  

4 .       PENJELASAN ISU ORANG ISLAM MENGAMBIL JALAN MUDAH TERHADAP SESUATU MAZHAB (BERKAITAN MENYENTUH ANJING / MEMELIHARA ANJING)

4.1 Pada umumnya para ulama berpendapat bahawa orang awam diharuskan berpindah-pindah mazhab dengan syarat-syarat yang tidak menyimpang daripada al-Qur’an dan al-Hadith. Ini kerana dalam kes-kes tertentu ulama - ulama Mazhab ini berbeza mengenai perkara yang  furu' (cabang) dan bukan perkara asas. Bahkan Imam-Imam Mazhab juga tidak memaksa pengikutnya hanya berpegang kepada pegangannya sahaja.  Lazimnya mereka berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang empat kerana ada sesuatu kesulitan (masyaqqah) dan ada juga yang berpindah mazhab secara berterusan atau secara sekejap sahaja (kemudian kembali semula ke mazhab asal) adalah diharuskan.
4.2 Isu berpindah-pindah mazhab adalah dibenarkan dengan syarat tidak berlaku  talfiq yang diharamkan (berlaku perkara yang tidak diiktiraf oleh ulama Islam). Apakah yang dimaksudkan dengan  talfiq? Talfiq di sini bermaksud  diharamkan mengumpulkan atau menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah. Jika dihimpunkan dua atau tiga pandangan ulama dalam satu masalah, para pelopor mazhab tidak membenarkan dan tidak diakui oleh mazhab tersebut. Contoh, menghimpunkan cara mengambil wuduk mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki dalam satu ketika adalah tidak dibenarkan. Contoh lain yang lebih mudah difahami.  Bolehkah dalam satu waktu seseorang itu memakai tiga jenis pakaian tradisional iaitu  Cina,  Melayu dan pakaian Panjabi. Ketiga-tiga pelopor pakaian tradisional tersebut tidak mengiktiraf cara pemakaian baju  tradisional tersebut.
4.3 Memahami Mazhab Syafie secara umum adalah suatu kewajipan bagi yang berpegang dengan  mazhab tersebut. Adapun isu yang timbul dalam masyarakat Islam masa kini ialah mereka tidak mendalami serta memahami sesuatu mazhab itu.  Sehingga  apabila timbul sesuatu kesulitan, mereka terus berpindah ke  sesuatu mazhab  (Hanafi) contohnya, tanpa memahami dengan lebih mendalam. Akibatnya mereka terperangkap dalam kekeliruan dan kejahilan di antara dua mazhab tersebut. Situasi ini tidak dibolehkan sama sekali dalam konteks bermazhab.
4.4 Berbalik kepada isu seorang wanita Melayu  yang  memberi pandangan dibolehkan mengikut Mazhab Maliki ketika menyentuh  anjing walaupun terkena air liurnya, adalah bertentangan dengan prinsip berpindah mazhab seperti yang  dijelaskan di atas.  Di  dalam  Kitab Majmu’ Fatawa, halaman 382 secara jelas dinyatakan bahawa tiada seseorang perlu mengikut orangorang yang tertentu sama ada larangan dan cadangan,  selain dari Rasulullah S.A.W. Seorang Islam hendaklah merujuk soalan mereka  kepada ulama dan bukan  mengikut  citarasa tersendiri  berdasarkan kecenderungan-kecenderungan tertentu yang tidak bertepatan dengan Syarak.  Jumhur ulama Islam membenarkan  seseorang itu mengambil keputusan atau pandangan seseorang Imam  terhadap sesuatu perkara yang mana dia rasakan lebih baik dari segi komitmen agamanya atau lebih tepat dalam hal-hal yang diselisihkan itu.
4.5 Sementara itu, Syeikh Abd al-Karim al-Khudayr mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menukar pendapatnya semata-mata kerana sesuatu pandangan itu menyenangkannya atau memilih sesuatu pandangan kerana rukhsahnya (keringanan) semata-mata. Sebaliknya umat Islam boleh memilih sesuatu pandangan berdasarkan dalilnya yang terbaik di kalangan yang lain atau pandangan yang lebih benar. (Lihat  Majmu’
Fatawa, halaman 23).
4.6 Sebagai penegasan berdasarkan kenyataan di atas, umat Islam tidak dipaksa mengikut sesuatu pandangan sahaja tanpa mengetahui  nas-nas yang memerintahkan untuk melakukan demikian. Mereka dibenarkan 
memilih pandangan (nas) yang lebih baik dari kalangan Imam (mazhab) yang bersesuaian. Demikian juga umat Islam tidak boleh memilih sesuatu pandangan mazhab kerana rukhsahnya / keringanannnya  semata-mata.   Jika tidak membuat pemilihan, ikutilah Imam (pemimpin)  yang lebih taqwa dan berilmu pengetahuan. Umat Islam dilarang memilih pandangan yang mudah dan sesuai dengan naluri tanpa melihat kepada nas-nasnya terlebih dahulu.

5. KEPEKAAN ORANG ISLAM  TERMASUK GOLONGAN  SAUDARA BARU TERHADAP KEUTAMAAN MENGAMBIL / MEMILIH MAKANAN HALAL

5.1 Adalah menjadi kewajipan umat Islam memilih makanan yang diyakini dan disahkan halal  lagi baik  termasuk  premis makanan / restoran  yang menyelenggarakannya.  Islam mengambil berat aspek pemakanan bukan sahaja dari khasiatnya  sahaja tetapi juga dari mana sumber asalnya dan daripada apa serta bagaimana ianya dihasilkan bertepatan dengan konsep halalan toyyiba (Surah al-Baqarah 2 : 168, Surah al-Maidah 5 : 88, Surah al-Anfal 8 ; 69 dan Surah al-Nahl 16 : 114). Ini kerana, daripada makanan yang dimakan akan menjadi  darah daging dan memberi kesan kepada perlakuan atau tindakan individu. Jika umat Islam tidak prihatin dalam soal memilih jenis  makan minum  termasuk  premis  makanan yang disahkan 
halal,  dikhuatiri boleh  menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam kerana tidak menjaga status makanannya halal atau haram. 
5.2 Sebagai sebuah agensi  Kerajaan,  Jabatan  Agama Islam mempunyai bidang kuasa untuk memberi penerangan dan dakwah dari  semasa ke semasa kepada umat Islam  dan mengingatkan  mereka  supaya sentiasa berhati-hati dalam  urusan  pengambilan sumber makanan yang halal lagi baik. Tidak terkecuali kepada golongan saudara baru yang dilihat perlukan sokongan moral yang kuat daripada  seluruh umat Islam.  Namun, nasihat dan teguran secara hikmah daripada orang ramai amat diperlukan dalam pelbagai aspek supaya semua orang Islam dan termasuk golongan saudara baru  memahami aspek-aspek Syariah  mengikut cara yang sebenar. Oleh itu, perlu ditegaskan  adalah menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan kepada semua orang Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah sama ada melalui tulisan, secara lisan atau melalui teladan yang baik. Kerana sesungguhnya kerja-kerja dakwah tidak hanya dibebankan kepada Jabatan 
Agama Islam sahaja. Sebaliknya semua orang Islam berhak melaksanakan usaha dakwah dengan apa cara sekalipun sehingga ajaran Islam tersebar ke seluruh pelusuk alam.

6. PENUTUP

Sebagai sebuah agensi agama yang menjaga kemaslahatan umat  Islam  di Negeri Selangor, JAIS menggesa supaya: 
6.1 Media massa dan  media cetak  khasnya Akhbar The Star untuk tidak mengulangi paparan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti agama Islam dan yang berkaitan orang Islam secara  semberono. Kerana 
sesungguhnya tulisan yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam tidak menguntungkan semua pihak. Malah jika tidak dibendung, ianya boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
6.2 Para ulama  yang mempunyai autoriti  dalam mengemukakan pandangan perlu dirujuk dalam menanggapi persoalan semasa dan tidak sewenangwenangnya setiap individu mengemukakan idea dan pandangan tanpa 
berlandaskan nas atau keterangan yang tepat, jelas dan berwibawa lebihlebih lagi dalam hal-hal yang bersangkutan dengan taklid mazhab.
6.3 Umat Islam  diingatkan  berhati-hati dalam konteks pengambilan sumber makanan yang halal lagi baik supaya menjamin kesihatan dan mendapat keberkatan dalam hidup.

No comments: