Tuesday, June 28, 2011

Sabarlah Wahai Hati : Apa Itu Kafarah?

"Ini semua dosa Nur, bang.." Bait kata Nur Amina dalam Nur Kasih. Nur Amina beranggapan apa yang berlaku adalah kafarah terhadap dirinya atas dosa dosa terdahulu.


Apa Itu Kafarah?
Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qadha’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati.


Kata Allah SWT " dan pasti Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" ~ Al-Baqarah: 155.


Dia memberi ujian hanya dalam sekelip mata, lantas dibiarkan manusia itu mencari jalan keluarnya sendiri, dibentangnya jalan dengan cara yang cukup terseni,diilhamkan penyelesaian yang hanya mampu dilihat oleh hati nurani. Jom kita selesaikan, kita mampu sebab janji Allah ; 


"dan Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada Kami ada satu catatan yang menuturkan dengan sebenarnya, dan mereka tidak dizalimi(dirugikan)"~ Al-Mu'minun:62


Allah telah berjanji, sesungguhnya kita akan diuji semampu kita, jadi tak patut wujudlah kata kata kita tak mampu nak hadapi, kita dah letih dengan dugaan, kita dah tak larat. Sebab Allah dah kata, kita mampu!


Lagipun,waktu ni lah kita boleh kutip pahala sabar, bukankah Allah berjanji ;


"Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).


Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. 
(Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslirn)


Nauzubillah, selepas kita diuji, kita dikurnia dengan kemuliaan. Maha suci Allah lagi Maha Pemurah


tapi...


Kadang kala, timbul rasa was- was, rasa curiga, rasa kecewa, putus asa,sungguh aku masih lemah walaupun aku sedia maklum;


Firman Allah swt (Hadist Qudsi): " Aku mengikuti persangkaan hambaKu terhadap diriKu menurut apa yang disukainya".~ al-Hadist.


Sabarlah wahai hati, sesungguhnya kamu sedang diuji, diuji atas kesalahanku. Tabahlah, sesungguhkan kita mampu lakukan..


"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar"~ Ali-Imran:142


Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qadha’ dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia.

No comments: